SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan LS13 | PDRM FC 1-1 Selangor FC | Kita Kekal Di Tangga Kedua #LigaSuper2024

Oct 20, 2024 - FAS

Hajat Gergasi Merah Lebar Rekod 4 Kemenangan Tidak Kesampaian

Hajat Gergasi Merah untuk melebarkan rekod empat kemenangan berturut-turut tidak berjaya selepas diikat PDRM FC di mana kedua-dua pasukan terikat 1-1 dan berkongsi satu mata dalam aksi LS13 yang berlangsung di Stadium MP Selayang, malam tadi.

Mendominasi keseluruhan permainan, Selangor FC bermula garang dengan melancarkan beberapa serangan awal dari sebelah kanan menerusi Quentin Cheng dan hasilnya Alvin Fortes berjaya menanduk masuk hantaran lintang dari pemain tersebut untuk meletakkan Gergasi Merah di hadapan pada minit ke-16.

Terus mengasak untuk mencari gol tambahan, namun usaha-usaha pemain Gergasi Merah berjaya dipatahkan oleh barisan pertahanan lawan dan kedudukan 1-0 kekal untuk babak pertama.

Bersambung di babak kedua, pasukan tuan rumah sesekali melancarkan cubaan ke arah gawang namun penjaga gol baru SFC, Kalamullah Al-Hafiz sentiasa bersedia untuk menafikan percubaan tersebut.

Gergasi Merah terus mengasak lawan menuju ke penghujung perlawanan dan perlawanan seakan-akan tamat 1-0, namun Timothy Oluwaseun muncul di saat akhir dengan menjaringkan gol penyamaan hasil dari serangan balas ‘The Cops’ untuk menghalang misi tiga mata Gergasi Merah.

Sempat ditemubual pasca perlawanan, Ketua Jurulatih SFC, Nidzam Jamil akui kelalaian di saat akhir meragut tiga mata penuh buat pasukan.

“Kita seharusnya menggandakan jaringan menerusi peluang yang terhidang untuk mematikan perlawanan dengan lebih awal dan sedikit kelalaian di saat akhir menyebabkan kita kehilangan 2 mata”, jelas beliau.

Penampilan sulung Liga Super Buat Dua Pemain

Dua pemain baru Selangor FC, Kalamullah Al-Hafiz (penjaga gol) dan Nikola Jambor (pemain tengah) membuat penampilan pertama mereka bagi kancah Liga Super bersama Gergasi Merah. Kalamullah diturunkan sebagai kesebelasan utama bagi menggantikan Azim Al Amin beraksi dengan baik dan hampir mencatatkan ‘clean sheets’ pertama beliau sebelum dibolosi di saat akhir. Pemain import dari Croatia, Nikola Jambor turut beraksi buat kali pertama bagi saingan Liga Super selepas pemain tengah itu dimasukkan pada babak kedua sebagai pemain gantian.

Gergasi Merah masih kekal di tangga kedua carta Liga Super 2024/2025 dengan mengumpul 26 mata selepas 12 perlawanan dan seterusnya Selangor FC akan melayani kunjungan pasukan gergasi Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors bagi aksi ketiga kumpulan H Liga Juara-Juara Asia 2 pada 23 Oktober 2024 di Stadium MBPJ, Petaling Jaya.

Terima kasih buat kesemua penyokong yang hadir ke Stadium MP Selayang malam tadi dan terus salurkan sokongan anda kepada pasukan.

Demi kebanggaan!